SOALAN 1

Remaja pada era ini amat mementingkan jenama produk untuk kegunaan mereka seperti pakaian, gajet dan barangan penjagaan diri.
Jelaskan kesan-kesan tabiat mementingkan jenama produk kepada remaja.

Gucci, Nike, Kipling dan Prada,

Menjadi rebutan zaman remaja;

Hidup ini harus berpada-pada,

Kelak diri yang hancur binasa.

 

            Bait-bait pantun di atas jelas menunjukkan bahawa remaja pada zaman serba canggih ini amat mementingkan jenama produk untuk kegunaan seharian mereka. Dalam meniti era millenium ini, remaja lebih mementingkan gelaran seperti ‘hipster’ sehingga alpa akan tanggungjawab masing-masing sebagai bakal pemimpin negara pada masa hadapan yang sudah pasti mempunyai seribu satu cabaran dan halangan yang lebih mencabar. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim pernah menyuarakan pendapat beliau ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Belia awal tahun lepas yang berlangsung di Putrajaya bahawa kegilaan remaja dalam mementingkan jenama sesuatu barangan ialah salah satu punca masalah kesempitan wang yang berlaku dalam sesebuah keluarga semakin meningkat akhir-akhir ini. Hal ini demikian kerana ibu bapa mengalami kesukaran untuk memenuhi permintaan anak-anak mereka yang ditatang bagai minyak yang penuh hanyalah berlandaskan hawa nafsu semata-mata tanpa mempedulikan status kewangan keluarga mereka. Tidak dapat dinafikan juga bahawa tabiat mementingkan jenama produk ini turut mendatangkan faedah buat remaja. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata bahawa heterogen kesan akan berlaku sekiranya tabiat mementingkan jenama produk ini diamalkan oleh remaja.

 

            Jika dilihat dari aspek positif, keyakinan diri dapat ditingkatkan dalam diri remaja. Perkara ini terjadi apabila masyarakat moden kini mempunyai persepsi yang tinggi terhadap produk berjenama berbanding produk yang dijual di pasar malam. Remaja pula lebih mengambil endah tentang tanggapan pertama masyarakat terhadap diri mereka sendiri supaya mereka tidak dipulau dan disisih oleh rakan sebaya. Remaja berpendapat jika mereka berpegang kepada prinsip alah membeli menang memakai akan membuatkan mereka popular dan dikagumi oleh golongan remaja. Lantaran itu, remaja dapat tampil lebih yakin untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan tanpa perlu khuatir akan cercaan orang ramai tentang cara pemakaian mereka setelah memakai produk berjenama. Majalah Remaja edisi Jun 2015 telah mengeluarkan sebuah artikel hasil temu ramah bersama artis remaja yang meningkat naik iaitu Elfira Loy. Hasil daripada temu ramah tersebut, Elfira Loy mengaku bahawa dirinya tampil lebih berkeyakinan untuk berhadapan dengan orang awam setelah menggayakan produk-produk berjenama. Tuntasnya, perkara ini sudah tidak dapat dinafikan bahawa tabiat mementingkan jenama produk dapat mendatangkan impak positif iaitu meningkatkan keyakinan secara tidak langsung menyerlahkan lagi sinaran bakat dalam diri mereka.     

            Sejajar dengan itu, tabiat mementingkan jenama produk menyebabkan remaja tidak ingin ketinggalan zaman dan digelar seperti katak di bawah tempurung. Hal ini dapat dibuktikan apabila remaja hari ini berlumba-lumba sesama sendiri bagi menggayakan fesyen yang paling popular dan terkini menerusi pemakaian aksesori berjenama seperti Pandora, Thomas Sabo dan Tiffany and Co. Isteri Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Datin Seri Rosmah Mansor pernah berucap semasa Pelancaran Hari Wanita Sedunia di Dewan Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada tahun 2011 bahawa sikap remaja terutamanya perempuan kini lebih menjurus untuk menggayakan barangan berjenama bagi melambangkan darjat dan kehidupan yang serba mewah. Perkara ini mengakibatkan remaja tidak akan berasa ketinggalan zaman setelah mengikuti gaya terkini. Tambahan pula, zaman sekarang yang lebih dikenali sebagai zaman fesyen merancakkan lagi para remaja untuk mengamalkan tabiat mementingkan jenama produk dalam kehidupan mereka. Izharnya, tabiat ini menyebabkan remaja tidak berasa tercicir dek arus kemodenan yang deras.

 

            Di samping itu, remaja juga akan terdorong untuk melakukan perkara-perkara negatif. Hal ini disebabkan oleh sikap iri hati serta cemburu terhadap rakan-rakan yang berkemampuan untuk menggunakan produk berjenama. Maka, remaja tersebut akan mendesak ibu bapa untuk membelikan produk berjenama meskipun mereka arif tentang keadaan keluarga mereka yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Andai kehendak dan kemahuan mereka tidak dipenuhi, mereka akan memberontak dan mencari seribu satu ikhtiar sehingga sanggup membelakangkan nilai-nilai moral seperti mencuri, memeras ugut dan mengedar dadah sekadar untuk memperoleh wang bagi memenuhi kehendak hati. Menurut mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan pernah menyuarakan kegusaran hatinya dalam sidang akhbar yang disiarkan di Buletin Utama TV3 berkaitan kegiatan jenayah yang melibatkan remaja semakin meningkat hari demi hari disebabkan oleh dorongan hawa nafsu. Justeru itu, terbuktilah sikap mementingkan produk berjenama ini memberi impak negatif kepada remaja untuk menjebakkan diri dalam perkara-perkara yang tidak bermoral sehingga mencetus kepada peningkatan kes-kes jenayah.

 

            Sehubungan dengan itu, perasaan ghairah untuk menggayakan barangan berjenama ini turut menjurus kepada berlakunya pembaziran sama ada secara sedar mahupun tidak sedar. Produk berjenama yang terkenal dengan pasarannya yang terhad namun berkualiti menyebabkan masyarakat berasak-asak di pusat beli belah bagi mendapatkan produk yang terkini. Sudah menjadi lumrah setiap manusia untuk bersikap rambang mata apabila dihidangkan sajian produk berjenama yang menjadi kegilaan remaja zaman ini. Kebanyakan peniaga akan memuat naik pelbagai gambar produk berjenama di laman sesawang seperti Instagram sebagai strategi perniagaan dengan motif untuk meracun minda anak muda agar membelanjakan wang mereka tanpa berfikir panjang. Artikel akhbar Berita Harian bertarikh 27 Julai 2015 yang berjudul ‘Kemahuan atau Kehendak’ melaporkan bahawa generasi muda gemar membeli barangan secara atas talian dengan berleluasa tanpa menyedari wang dalam akaun simpanan semakin berkurangan. Sebagai pengguna yang bijak, remaja sewajarnya ukur baju di badan sendiri ketika berbelanja lebih-lebih lagi produk berjenama. Konklusinya, sikap remaja dalam mementingkan jenama sesuatu produk ini menyebabkan berlakunya pembaziran.

 

            Kesimpulannya, pelbagai impak positif dan juga negatif yang dapat dikesan pada remaja yang amat mengagung-agungkan produk berjenama. Prinsip biar papa asal bergaya mestilah dielakkan oleh golongan remaja memandangkan wang yang dibelanjakan tersebut bukan daripada membanting tulang empat kerat sendiri tetapi hasil titik peluh ibu bapa yang berhempas pulas siang dan malam untuk menyara hidup keluarga serta tidak wajar dipersiakan bagi membeli produk berjenama. Wang tersebut patut disimpan bagi keperluan masa hadapan ketika melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Sebagai pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara remaja hendaklah berfikiran matang dan berwawasan untuk membantu ibu bapa meningkatkan taraf hidup keluarga dengan belajar bersungguh-sungguh dan menjawat jawatan yang tinggi dalam kerjaya. Harapan saya setinggi langit yang membiru di angkasa agar para remaja sedar akan kepentingan berbelanja secara cermat yang bersesuaian dengan umur sebagai remaja yang masih cetek pengalamannya. Sesungguhnya, tabiat mementingkan jenama produk ini lebih mendatangkan kesan positif kepada ekonomi Malaysia seandainya diguna pakai untuk barangan berjenama tempatan. Akhir sekali, semua remaja seharusnya bersama-sama melebarkan sayap bagi menyahut seruan Wawasan 2020 dan mengharumkan nama agama, bangsa dan negara di peringkat glokal mahupun global.

Credits;

Liyana, Nik Alya, Maisurah, Farhana, Syada, Farah Nadzirah, Ain Jusoh