TAJUK 1 : KEPENTINGAN HIDUP BERJIRAN

·       mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk.
·       mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni, aman damai dan sejahtera.
·       mewujudkan persekitaran yang lebih selamat.
·       menjamin keselamatan kawasan kejiranan.
·       memupuk semangat bekerjasama dan tolong-menolong.
·       membantu meningkatkan perkembangan ekonomi masyarakat dan negara.

·       membantu menjayakan projek masyarakat setempat.
·       mengelakkan berlakunya kes-kes jenayah seperti pecah rumah, kecurian dan lain-lain.
·       menghapuskan perasaan hasad dengki, fitnah-memfitnah dan berburuk sangka antara jiran.
·       menjana perkembangan dan kemajuan sesebuah kawasan kejiranan.
·       membantu mengatasi masalah kemiskinan, pengangguran, buta huruf dalam kawasan kejiranan.
·       memberikan gambaran yang positif kepada masyarakat sekeliling, pelancong dan lain-lain.

            Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat  peribahasa seikat bak sirih, serumpun bak serai.  Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat yang hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, jiran boleh ditakrifkan sebagai orang yang tinggal berhampiran dengan rumah seseorang. Namun begitu, terdapat lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan bahawa amalan kehidupan berjiran dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin sirna ibarat hidup segan mati tak mahu. Sebahagian rakyat yang hidup dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini lebih cenderung kepada sifat nafsi ataupun individualistik dan bersilengah.  Mereka ini tidak menyedari akan kepentingan hidup berjiran terutamanya dalam kehidupan hari ini yang berwarna-warni. Persoalan yang sering berlegar-legar di gawang minda kita ialah apakah kepentingan hidup berjiran kepada individu, masyarakat dan negara?

            Salah satu signifikan hidup berjiran ialah semangat kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat di sesuatu tempat dapat dipupuk. Semangat kerjasama amat penting dalam kehidupan berkomuniti untuk mewujudkan kehidupan yang harmoni dengan tolong-menolong antara satu sama lain. Tanpa kerjasama antara satu sama lain sudah pasti sesuatu kerja yang sukar tidak dapat diselesaikan dengan mudah. Kerjasama ini mampu dipupuk menerusi penglibatan anggota masyarakat secara holistik dalam menjayakan aktiviti yang dilaksanakan di kawasan perumahan mereka. Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan  atau perjumpaan bulanan komuniti dapat mempertemukan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan. Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Menurut laporan majalah “The Times” di Australia, kegiatan gotong -royong yang diamalkan di Malaysia merupakan antara yang terbaik di dunia.  Impaknya, dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti berfaedah seperti ini akan membawa anjakan paradigma bukan sahaja kepada kawasan perumahan malah kepada kesihatan anggota masyarakat itu sekali. Hal ini kerana dengan mengadakan aktiviti gotong-royong kawasan perumahan bukan sahaja akan kelihatan kemas bahkan juga membawa kebaikan kepada kesihatan masyarakat itu sendiri. Tegasnya, sikap kerjasama dapat dipupuk melalui kehidupan berjiran dan seterusnya dapat membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.

            Selain itu, hidup berjiran juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Hal ini kerana apabila setiap rakyat hidup berjiran maka secara tidak langsung dapatlah menyahut proklamasi Perdana Menteri Malaysia , Dato’ Seri Najib Tun Razak iaitu 1Malaysia yang menekankan semangat perpaduan antara kaum di Malaysia. Sinergi dan usahasama sebeginilah sewajarnya dijadikan panduan dan diaplikasikan dalam institusi masyarakat  bagi mencetuskan semangat kejiranan yang utuh persis peribahasa Melayu, ‘ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua’.  Contoh pendekatan yang boleh diambil untuk memupuk semangat perpaduan dan bersatu padu dalam kalangan rakyat adalah dengan mengadakan aktiviti-aktiviti yang melibatkan semua kaum dalam pada masa yang sama seperti mengadakan “Rumah Terbuka Kebangsaan” bagi setiap perayaan yang terdapat di Malaysia. Melalui pengimplimentasian program ini, semangat kejiranan dapat dijalinkan dalam masyarakat yang berbilang kaum ini agar boleh meluaskan horizon pemikiran dek kerana berpeluang mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar  dapat diterapkan dengan nilai saling menghormati, bertolenrasi  dan saling menyayangi antara satu sama lain. Secara tidak langsung, tragedi 13 Mei  1969 yang merupakan sejarah hitam negara di mana berlaku perbalahan antara kaum di Malaysia sehingga mengakibatkan rakyat huru-hara dan negara kucar-kacir hanya akan berada dalam kotak memori sahaja, dan bukan untuk diulangi lagi kelak. Ringkasnya, hidup berjiran mampu membentuk masyarakat berbilang kaum yang stabil dari segi spiritual serta fizikal dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.

            Di samping itu, hidup berjiran juga penting kepada negara kerana dapat memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada rakyat. Slogan ’Negara Maju Rakyat Sihat’ menunjukkan apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka pelbagai rancangan pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan secara lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastruktur di kawasan taman-taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas inisiatif kehidupan berjiran dan perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Kesannya, bukan sahaja masyarakat akan menikmati pelbagai keselesaan  yang disediakan bahkan juga masyarakat akan pembangunan modal insan yang seimbang dapat dicapai. Situasi ini dapat dikatakan sambil menyelam minum air. Jelaslah bahawa kehiduppan berjiran penting bagi membantu anggota masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan sekali gus membantu kerajaan melaksanakan pembagai program rakyat.

            Kehidupan berjiran juga merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan  semangat cinta akan negara. Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu seia sekata. Jika masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan melakar kejayaan yang gemilang. Melalui hubungan kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat diimplimentasikan seperti mengibarkan jalur gemilang, mengadakan pameran sempena ulang tahun kemerdekaan negara ataupun menyertai perarakan dalam sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin Mansor merupakan  contoh paling jelas, dan atas sokongan  rakyat Malaysia membolehkan beliau melakukan pelayaran solo mengelilingi dunia sambil mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kejayaan. Hal ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia membolehkan mereka melakukan sesuatu hal dan perkara yang amat hebat bagi melonjakkan Malaysia di persada antarabangsa. Ringkasnya, anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan  semangat cinta akan negara dapat dilahirkan melalui kehidupan berjiran.

            Dari sudut yang berbeza, hidup berjiran yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum juga penting sebagai produk pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini banyak disebabkan kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni budaya yang menarik dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya, perpaduan masyarakat banyak membantu menarik kehadiran pelancong terutamanya ketika musim perayaan besar dan mampu memikat hati barisan pemimpin dunia untuk mempelajari formula Malaysia dalam mengekalkan perpaduan antara rakyat seperti yang diutarakan Mantan Timbalan Perdana Menteri Britain, John Presscott suatu ketika dahulu. Sebagai contohnya, pada sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara kita yang amat  disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan bandar, produk pelancongan seperti Program ’Homestay’ atau Inap Desa di kawasan luar bandar juga dapat menunjukkan kemaslahatan hidup berjiran dalam kalangan masyarakatnya. Secara implisitnya, ekonomi negara yang memberangsangkan akan dapat dicapai oleh Malaysia. Pendek kata, kehidupan berjiran dalam kalangan masyarakat Malaysia sangat berfaedah dalam industri pelancongan negara.

            Kalau ditelusuri dari sudut yang lain, hidup berjiran dalam kalangan masyarakat akan membawa impak positif kepada masyarakat konvensional itu sendiri iaitu kesedaran hidup berjiran mampu membawa kepada jaminan keselamatan penduduk setempat. Hal ini kerana dengan wujudnya Rukun Tetangga yang terdiri daripada ahli-ahli masyarakat di kawasan kejiranan itu sendiri, mereka akan menjalankan rondaan pada waktu malam secara berkumpulan bagi memastikan kawasan perumahan mereka berada dalam keadaan selamat sejahtera. Program ini juga  mampu membantu pihak polis dalam usaha untuk mengurangkan  kegiatan jenayah yang biasa berlaku di kawasan perumahan seperti pecah masuk rumah. Jika perkara ini tidak ditegah secara serius, dikhuatiri akan  membawa kepada banyak implikasi seperti harta benda dirompak dan yang paling memilukan jika membawa maut kepada ahli rumah yang menjadi mangsa keadaan dalam kegiatan kebejatan moral ini. Maka, apabila terlaksananya program sebegini yang melibatkan semua pihak, purata kes jenayah dalam negara akan berkurangan dari semasa  ke semasa. Secara tidak langsung, nama Malaysia juga harum di segenap seantero mayapada dek kerana Malaysia merupakan antara negara paling selamat untuk didiami di dunia hasil daripada kajian yang dilakukan oleh “The World Justice Project” yang bertempat di New York, Amerika Syarikat. Hal ini sama dengan cogan kata “jiran sepakat membawa berkat”. Tegasnya, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat mampu menjana kawasan perumahan yang harmoni dan aman.

Secara intihanya, sudah terang lagi bersuluh bahawa kehidupan berjiran merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang signifikan. Amalan yang murni ini menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Oleh itu, semua rakyat Malaysia perlu bangkit dan lari daripada kealpaan tentang mengamalkan kehidupan berjiran ini. Rakyat Malaysia tidak seharusnya mempunyai sikap evasif dan bernafsi-nafsi bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing malah perlu berganding bahu ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dalam usaha untuk menjayakan amalan kejiranan ini. Diharapkan agar komitmen padu daripada semua pihak ini dapat memupuk dan meningkatkan lagi semangat perpaduan dan bekerjasama dalam sanubari setiap rakyat Malaysia yang sangat dituntut untuk mengekalkan keamanan yang telah dikecapi. Semoga aspirasi Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020 akan tercapai jua dengan terzahirnya permuafakatan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa. Ingatlah bahawa rakyat bersatu, negara maju!

TAJUK 2 : KEPENTINGAN BERSARAPAN PAGI

            “Mimi tidak suka sarapan pagi. Kalau makan pagi dia mesti sakit perut. Selalunya lepas bangun tidur, dia akan terus ke sekolah. Lagi pun, tak sempat. Kami keluar rumah jam 6.45 pagi. Dia suka sambung tidur dalam kereta daripada makan,” kata Halimah ketika diaju soalan kenapa tidak menyediakan sarapan pagi untuk anaknya sebelum melangkah ke sekolah. Senario ini mungkin biasa kita dengar. Sama ada tahu atau tidak ambil kisah, segelintir ibu bapa masih tidak memberi perhatian serius terhadap kepentingan sarapan pagi untuk memastikan anaknya dapat menumpukan sepenuh perhatian pengajaran di dalam kelas. Sebenarnya sarapan pagi sangat penting kepada setiap individu. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir individu yang kurang gemar mengambil sarapan pagi. Mereka menganggap bahawa sarapan pagi hanya akan menambahkan berat badan. Mungkin juga terdapat individu yang sering mengalami masalah sakit perut sejurus mengambil sarapan pagi. Sama ada kita sedar atau tidak, terdapat pelbagai faedah yang kita peroleh apabila mengambil sarapan pagi. Marilah bersama-sama kita mengkaji faedah-faedah pengambilan sarapan pagi.

  Salah satu faedah mengambil sarapan pagi ialah masalah obesiti dapat dielakkan. Banyak orang yang beranggapan bahawa dengan tidak mengambil sarapan pagi, dapat mengurangkan berat badan mereka. Seseorang yang tidak bersarapan cenderung untuk mengambil makanan dengan kuantiti yang banyak pada waktu tengah hari dan tidak berkhasiat serta tinggi kalori seperti makanan ringan untuk menghilangkan kelaparan. Sebetulnya,berat badan lebih mudah dikurangkan dengan mengambil sarapan pagi dengan tidak makan secara keterlaluan pada waktu tengah hari sebagai akibat kelaparan kerana tidak mengambil sarapan pagi. Kajian yang dijalankan Food Facts Asia dengan kerjasama empat universiti di Asia ke atas remaja berusia 10 hingga 12 tahun yang mengamalkan sarapan rata-rata jauh lebih langsing dan kurang berhadapan dengan masalah berat badan berlebihan. Pengambilan sarapan pagi perlulah seimbang dengan tenaga yang diperlukan. Untuk mengelakkan masalah obesiti, kita haruslah bersarapan pagi dengan makanan yang berkhasiat seperti bijiran dengan susu. Hal ini bukan sahaja dapat mengelakkan obesiti malahan juga dapat mengelakkan pelbagai penyakit yang berbahaya. Tegasnya, masalah obesiti dapat diatasi dengan memberikan berat badan yang ideal  jika kita mengambil sarapan pagi.

 

        Selain itu, sarapan pagi dapat membekalkan tenaga kepada kita. Sarapan pagi menyediakan 25 peratus daripada jumlah kalori atau tenaga harian dan kunci kesihatan yang baik. Bagi individu yang tidak mengambil sarapan pagi, apabila menjelang tengah hari, mereka akan mula rasa lemah lesu dan tidak bermaya. Kajian telah membuktikan bahawa individu yang mengambil sarapan pagi lebih cergas daripada individu yang tidak mengambil sarapan pagi. Remaja sangat memerlukan sarapan pagi untuk memberikan tenaga kepada mereka. Minda mereka lebih cerdas di awal pagi dan ini memudahkan mereka menumpukan perhatian di dalam kelas. Pensyarah Kanan, Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Universiti Putra Malaysia, Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof, berkata sarapan pagi amat penting bagi memulakan hari individu dengan lebih bertenaga selepas lebih lapan jam tidur, terutama otak. Disebabkan remaja lama berada di sekolah dan memerlukan tumpuan kepada pelajaran, makanan yang tinggi lemak dan gula jika diambil dalam jumlah yang berlebihan akan menyebabkan mengantuk. Sehubungan dengan itu. sarapan bukan saja memberi tenaga untuk memulakan hari baharu, tetapi juga menjamin prestasi yang lebih baik dalam kehidupan seseorang. Pendek kata, bersarapan pagi penting untuk memberikan tenaga demi menjamin kualiti hidup kita.

           Di samping itu,sarapan pagi amat penting bagi mengawal rasa lapar diri kita. Lazimnya, kita perlu bangun seawal pagi untuk memulakan rutin harian kita. Sarapan pagi dapat menjadi alas perut sementara menunggu waktu rehat tiba. Apabila kurang rasa lapar, tumpuan kita terhadap kerja yang dilakukan akan stabil. Jika perut kita lapar, tumpuan kita akan terganggu. Hai ini menyebabkan kita hilang fokus terhadap aktiviti harian kita. Oleh itu, kita perlu mengambil sarapan pagi dengan pengambilan makanan yang mengandungi serat seperti roti bijiran penuh, bijirin  sarapan, kekacang, sayuran dan buah.  Serat membantu dengan memberikan rasa kenyang bagi mengelakkan pengambilan makanan berlebihan dan sekali gus dapat mengawal masalah fizikal, intelektual dan tingkah laku seseorang.  Izharlah bahawa pengambilan sarapan penting untuk mengelakkan rasa lapar.

         Sebagai konklusinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa pengambilan sarapan pagi ini banyak memberikan kepentingan kepada diri kita. Pengabaian daripada mengambil sarapan pagi  juga memberikan keburukan kepada diri kita. Oleh itu, kita haruslah memulakanlah hari kita dengan bersarapan kerana mencegah itu lebih baik dari mengubati. Sesungguhnya kita perlu mengetahui apa yang penting bagi diri kita untuk sentiasa sihat dari segi mental mahupun fizikal. Ibu bapa seyogianya menyediakan sarapan yang sihat untuk anak-anak tanpa memberikan sebarang alasan yang boleh membantutkan tumbesaran dan kesihatan anak-anak. Pengambilan sarapan pagi haruslah dijadikan suatu kelaziman supaya alah bisa tegal biasa. Dengan ini, negara dapat menghasilkan modal insan yang sihat sekali gus dapat meningkatkan taraf ekonomi negara agar setanding dengan negara-negara maju yang lain. Berpeganglah pada slogan “Rakyat Sihat, Negara Maju”.

TAJUK 3 : LANGKAH MEMAJUKAN PELANCONGAN NEGARA

           Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara yang penting. “Pendapatan indsutri pelancongan mencatatkan peningkatan 7.2 peratus dengan nilai RM103.3 bilion pada tahun 2013 dalam menjana ekonomi Malaysia,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hal ini menunjukkan peningkatan ekonomi yang memberangsangkan yang dibawa masuk melalui industri pelancongan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembanguna negara yang pantas. Namun begitu, insiden yang menimpa negara baru-baru ini dengan kejadian misteri iaitu kehilangan pesawat Malaysian Airlines Systems (MAS) MH371 dari China dan MH17 yang ditembak lalu terhempas di Ukraine sedikit sebanyak boleh menjejaskan industri pelancongan negara. Kebanyakan pelancong berasa terancam untuk datang ke Malaysia apatah lagi tahun 2014 diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Malaysia. Oleh itu, semua pihak haruslah megatur langkah yang lebih proaktif dan pragmatik untuk memastikan industri pelancongan negara kita terus rancak dengan kunjungan para pelancong sama ada dari dalam negara atau dari luar negara untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Persoalan yang bermain-main di gawang minda kita ialah apakah langkah-langkah yang pragmatik yang dapat dipraktikkan untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita?

            Uslub yang perdana yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu yang dapat menarik minat pengunjung mancanegara. Produk pelancongan negara perlu diperbanyak supaya para pengunjung dapat menikmati sesuatu yang baharu dan unik di negara kita. Banyak produk pelancongan yang wajar diterokai oleh pihak-pihak yang terbabit. Misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam program inap desa dengan lebih banyak. Selain itu konsep pelancongan kesihatan, agropelancongan, ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan musim buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya. Produk pelancongan yanng diperkenalkan mestilah dapat menarik hati pelancong-pelancong mancanegara. Biasanya pelancongan luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka. Oleh itu, kita harus mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempat. Sebagai contoh, pelancong wajar dibawa untuk tinggal bersama-sama masyarakat luar bandar dan mendalami cara hidup mereka. Dengan ini, para pengunjung dapat menimba pelbagai ilmu yang baharu dan mereka tidak akan pulang dengan tangan yang kosong tanpa ilmu di dada. Benarlah kata orang tua-tua, “jauh perjalanan, luas pengalaman”. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu dapat meningkatkan sektor berkenaan.

          Selain itu, pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival pelancongan di seluruh pelosok dunia. Karnival pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai destinasi pelancongan. Dalam karnival ini, banyak perkara yang dapat diketengahkan. Antaranya ialah tempat-tempat menarik di negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga kebudayaan masyarakat pelbagai kaum. Selain itu karnival ini juga wajar menyediakan pakej-pakej pelancongan yang kompetetif kepada masyarakat antarabangsa. Karnival seperti ini hendaklah diadakan di seluruh dunia. Tumpuan hendaklah diberikan pada rantau yang jauh seperti di Amerika Selatan dan juga Afrika. Sebagai contoh, karnival wajar diadakan di Brazil untuk menarik minat pengunjung di sana datang ke Malaysia dan menghebahkan kehebatan negara kita bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Secara implisitnya, bilangan pelancong ke negara kita akan semakin meningkat. Tegasnya, penganjuran karnival pelancongan di luar negara merupakan langkah yang berkesan untuk mempromosikan negara kita sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

            Meninjau skop yang lebih luas lagi, kerajaan Malaysia juga wajar menganjurkan pelbagai acara antarabangsa dengan lebih kerap. Pelbagai acara antarabangsa wajar dilobi agar diadakan di negara ini untuk menjadi tarikan kepada para pengunjung. Sebagai contoh, penganjuran acara sukan antarabangsa seperti Monsoon Cup, perlumbaan Formula 1, kejohanan badminton, pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA), Kejohanan Kereta Formula Satu dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi dan seumpamanya merupakan acara yang sangat mendapat perhatian peminat antarabangsa. Dalam bidang seni pula, negara kita menjadi tuan rumah kepada beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival Muzik Dunia yang diadakan di Sarawak setiap tahun. Kemampuan negara untuk menganjurkan acara antarabangsa seperti ini memang terbukti kejayaannya, bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di dunia. Acara antarabangsa ini hendaklah diadakan dengan lebih kerap dan dijadikan acara tahunan. Kejohanan-kejohanan dan pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa dengan promosi yang lengkap dan meluas. Kesannya, kedatangan pelancong ke negara kita juga akan meningkat. Mereka bukan sahaja datang untuk melibatkan diri dalam acara-acara yang dianjurkan, malahan untuk melawat tempat-tempat menarik di negara kita berterusan tanpa menunggu musim-musim tertentu sahaja.  Dengan cara ini, kita dapat mengekalkan pulangan yang diperoleh danpada kedatangan pelancong ke negara kita. Jadi, jelaslah penganjuran acara antarabangsa dapat meningkatkan promosi pelancongan di negara kita.

            Seperkara lagi, satu daripada langkah-langkah untuk mempromosikan sektor pelancongan negara ini adalah dengan mengadakan kempen Tahun Malaysia Malaysia dengan lebih berkesan dan melibatkan lebih banyak penyertaan. Tahun Melawat Malaysia ialah kempen untuk menggalakkan pelancong datang ke negara kita dengan lebih besar bilangannya. Kempen yang diadakan sepanjang tahun ini menyediakan pelbagai acara untuk menarik minat pelancong datang ke negara ini. Misalnya, pelbagai acara kebudayaan pelbagai kaum dipersembahkan untuk para pelancong. Penyertaan pelbagai pihak digalakkan untuk memeriahkan lagi sambutan Tahun Melawat Malaysia ini. Selain badan-badan kerajaan, pihak swasta juga memikul tanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kompetetif, bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Program seumpama Cuti-cuti Malaysia oleh TV3 perlu diteruskan agar masyarakat mengetahui keindahan negara kita Hotel-hotel, syarikat penerbangan, dan syarikat pengangkutan awam mestilah melibatkan diri untuk menjayakan kempen ini. Hal ini sekali gus akan mendorong para pelancong untuk melancong dan berehat di sini. Jelaslah, kempen Tahun Melawat Malaysia dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita.

          Uslub dan minhaj yang lain ialah menghapuskan atau mengurangkan cukai belian barangan di negara ini. Berdasarkan rekod Perbadanan Pelancongan Malaysia (TDC), pelancong asing yang datang ke sini bukan sekadar untuk menikmati keindahan alam semula jadi negara, bahkan juga untuk membeli-belah. Mereka ingin menjadikan percutian di Malaysia sebagai serampang dua mata. Oleh itu, pihak berkuasa perlu menghapuskan atau mengurangkan cukai belian barangan di negara ini. Namun begitu, kualiti barangan yang dijual haruslah terpelihara supaya para pelancong berasa puas hati ketika membeli-belah di negara kita dan janganlah indah khabar dari rupa. Selain itu, peraturan-peraturan imigresen perlu dilonggarkan kepada mereka yang berhasrat melancong ke negara ini. Manakala pusat-pusat perkhidmatan tukaran wang asing perlu ditambah dan disediakan di lokasi-lokasi yang strategik seperti di hotel, pusat pelancongan dan pekan-pekan kecil. Dengan adanya kemudahan-kemudahan ini, para pelancong akan tertarik untuk berkunjung ke Malaysia. Izharlah bahawa penghapusan dan pengurangan cukai belian barangan dapat merancakkan industri pelancongan negara .

            Jika ditinjau dari sudut yang lain, langkah-langkah keselamatan juga perlu diambil bagi menjamin kepuasan dan kesejahteraan pelancong semasa berada di negara kita. Faktor kawalan keselamatan yang  terjamin di sesuatu destinasi pelancongan sering menjadi kayu pengukur untuk mereka datang ke destinasi pelancongan yang menjadi pilihan di hati mereka. Kita tidak seharusnya lupa dengan gelagat segelintir masyarakat yang mengambil kesempatan ke atas pelancong. Oleh itu, Unit Keselamatan Pelancong perlu ditubuhkan untuk membantu pihak polis menangani jenayah ke atas pelancong. Kejadian-kejadian rogol, mencabul kehormatan, menghendap, peras ugut, rompak dan tipu harus ditangani secepat mungkin. Ini perlu dilakukan agar pelancong asing terus berkunjung ke negara ini. Bilangan keanggotaan pasukan keselamatan perlu ditambah supaya rondaan dapat dilakukan dengan lebih kerap di kawasan tumpuan pelancong. Sehubungan dengan itu, pelancong dapat melancong di negara kita dengan lebih selesa dan sekali gus imej negara terpelihara di mata dunia. Pendek kata, kawalan keselamatan yang baik mampu meningkatkan industri pelancongan negara.

                Akhir kalam, bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa  terdapat pelbagai langkah yang dapat dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Memang diakui pelancongan merupakan suatu industri yang cukup berpotensi dan begitu menguntungkan. Oleh itu, usaha memajukan industri pelancongan bukanlah terletak atas pundak pihak berkuasa semata-mata kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Semua pihak hendaklah tampil dan menunjukkan iltizam yang tinggi untuk membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat, bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya. Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum di negara ini akan sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancongan tempatan dan mancanegara. Kerjasama dan kesungguhan daripada semua pihak yang terbabit akan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia. Menurut Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Mantan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, industri pelancongan di dalam negara boleh berkembang setanding dengan destinasi pelancongan di luar negara seperti Pulau Bali, Disneyland dan lain-lain sekiranya usaha memperkenalkan Malaysia dilakukan secara giat malah disokong oleh rakyat jelata. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah mentari terus bersinar dan biarlah industri pelancongan negara kita terus meniti dari bibir ke bibir umat manusia di seantero dunia demi menjana pendapatan yang lebih lumayan untuk kemaslahatan bersama.

TAJUK 4: LANGKAH MENJADI PELAJAR CEMERLANG

        Tidak dapat dinafikan bahawa setiap pelajar pasti mempunyai keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Kecemerlangan ini hanya akan dapat dicapai sekiranya pelajar-pelajar berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang sangat sukar untuk dicapai sekiranya pelajar itu sendiri mempunyai iltizam dan keazaman yang tinggi  untuk mencapainya. Namun begitu, dalam menelusuri arus globalisasi yang pantas bergerak bagai belut diketil ekor ini masih terdapat segelintir pelajar yang masih tidak menitikberatkan kecemerlangan akademik lantaran masih dibuai lena oleh budaya hedonisme. Mereka ini lebih mementingkan keseronokan dan hiburan daripada pendidikan. Pelajar-pelajar  tidak sepatutnya menganggap perkara ini sesuatu yang remeh atau mudah kerana keputusan peperiksaan mampu menjamin masa hadapan seseorang pelajar yang lebih cerah. Oleh itu, pelajar-pelajar janganlah menyesal pada masa hadapan disebabkan tidak dapat memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan jika asyik mengabaikan pelajaran, bak kata orang tua-tua, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang patut dilakukan untuk mencapai kecemerlangan seseorang pelajar?

            Langkah perdana yang perlu dilakukan oleh seseorang pelajar yang sentiasa mendambakan kecemerlangan ialah dia haruslah mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul. Seorang pelajar yang mempunyai peribadi yang unggul akan sentiasa menjaga hubungan baik sesama manusia tidak kiralah ketika bersama keluarga, guru mahupun rakan-rakan. Mereka haruslah bercakap dengan menggunakan bahasa yang  sopan santun bagaikan butir-butir mutiara yang berharga. Sebagai contoh, seseorang pelajar itu perlu sentiasa menghormati dan menyayangi guru mereka. Mereka juga perlu sentiasa berlapang dada untuk membantu rakan-rakan dalam pelajaran. Hal ini kerana bantuan yang diberikan dapat mengukuhkan pemahaman mereka atas penerangan yang diberikan. Sifat sombong dan angkuh tidak pernah wujud dalam kamus hidup seorang pelajar yang ingin cemerlang. Mereka sentiasa mengamalkan sikap bermurah hati dan tidak pilih kasih dalam pergaulan dengan membeza-bezakan bangsa, agama dan prestasi akademik kerana menyedari bahawa setiap manusia adalah sama di sisi Tuhan. Sahsiah dan peribadi pelajar yang cemerlang yang unggul disenangi oleh orang di sekelilingnya kerana mereka tetap bergaul mesra kerana tidak bersikap seperti kera sumbang. Oleh itu, jelaslah bahawa kecemerlangan dapat dicapai melalui sahsiah dan peribadi yang unggul.

            Langkah yang seterusnya ialah pelajar haruslah sentiasa mengikut ajaran agama. Setiap agama di dunia ini menganjurkan manusia melakukan kebaikan tidak kiralah agama Islam, Kristian, Hindu mahupun Buddha. Mereka perlu menjadikan agama sebagai panduan hidup. Agama menjadi landasan yang paling ampuh dalam membentuk diri pelajar yang cemerlang seperti kata seorang cendekiawan, permulaan hidup seseorang manusia adalah mengenal Tuhan dan agamanya.  Mereka seharusnya mempunyai nawaitu yang suci dalam setiap tindakan yang dilakukan oleh mereka. Sebagai contoh, seorang pelajar Islam yang ingin cemerlang perlu menunaikan tanggungjawabnya terhadap Allah iaitu dengan menunaikan solat serta sentiasa berdoa untuk mencapai kejayaan. Menurut Albert Einstein, “Agama tanpa ilmu ada buta, ilmu tanpa agama adalah lumpuh.” Izharlah bahawa agama menjadi pegangan pelajar yang cemerlang agar mereka tidak terpesong daripada matlamat sebenar hidup di dunia ini serta seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS).

            Jika ditinjau dari dimensi yang lain, kecemerlangan seseorang pelajar dapat dicapai jika pelajar itu sentiasa mengisi masa lapang dengan bijak. Setiap pelajar haruslah menyedari hakikat bahawa masa itu emas dan tidak mensia-siakan setiap saat yang dimilikinya. Mereka perlu sentiasa mengisi masa terluang dengan melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah seperti membaca buku, mengulang kaji pelajaran, dan beriadah. Mereka juga menyediakan jadual aktiviti harian yang fleksibel agar aktiviti yang dilakukan seimbang daripada aspek jasmani dan rohani. Penyediaan jadual aktiviti harian amat penting bagi memastikan pelajar tidak hanya menghabiskan masa selama 24 jam di meja belajar sahaja. Pelajar yang ingin cemerlang juga sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan mereka dengan membaca buku sekiranya mempunyai masa yang terluang. Hal ini kerana mereka menyedari melalui pembacaan, mereka akan dapat meluaskan horizon pemikiran mereka dan seterusnya menjadikan diri mereka seorang pelajar yang cemerlang bak kata slogan, membaca jambatan ilmu. Mereka juga perlu menyiapkan setiap tugasan yang diberi dan tidak menangguhkannya. Bagi mereka, bertangguh itu pencuri masa. Mereka juga tidak akan mengamalkan sikap seperti pahat dengan penukul dalam proses menuntut ilmu. Secara tidak langsung, pengisian masa yang bijak dapat mengekang mereka daripada terjebak dalam kebejatan sosial yang kian menghambat golongan pelajar kita seperti vandalisme, gengsterime, melepak dan sebagainya. Pelajar yang berdisiplin dalam pengisian masa dengan aktiviti yang berfaedah juga dapat dilahirkan. Jadi, jelaslah kepada kita semua bahawa pengisian masa yang bijak dapat membantu seseorang pelajar untuk mencapai kecemerlangan yang diimpikan

            Di samping itu, seseorang pelajar juga perlulah sentiasa memberikan tumpuan ketika guru sedang mengajar. Hal ini kerana perhatian dan tumpuan yang diberikan menjadi salah satu medium pembentukan pelajar yang cemerlang di samping meningkatkan pemahaman mengenai subjek yang dipelajari. Seorang pakar psikologi pernah mengatakan bahawa lima puluh peratus kejayaan pelajar-pelajar disebabkan faktor memberikan sepenuh tumpuan ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Sebagai contoh, seseorang pelajar haruslah memberikan sepenuh perhatian dan fokus ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Mereka harus menghargai setiap detik waktu dalam proses tersebut kerana masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya, maka ia akan memotong kita. Tumpuan dan perhatian pelajar di dalam kelas bukan sahaja menjadi salah satu ciri kecemerlangan pelajar malahan juga dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka dalam sesuatu subjek yang dipelajari. Tambahan lagi, sekiranya mereka menerapkan ciri yang berikut dalam diri mereka, mereka akan disenangi oleh para guru. Para guru akan berasa senang hati ketika mengajar seterusnya memberi keberkatan kepada pelajar tersebut untuk memperoleh kejayaan dalam pelajaran, peperiksaan bahkan dalam kerjaya mereka pada masa akan datang. Ringkasnya, pemberian tumpuan semasa guru sedang mengajar di dalam kelas turut mendorong kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik.

            Bukan itu sahaja, kecemerlangan juga dapat dicapai dengan menetapkan wawasan hidup. Hal ini kerana wawasan hidup diperlukan supaya mereka sentiasa dapat mencapai segala cita-cita dalam hidup mereka. Wawasan hidup merupakan ciri dominan pada diri pelajar cemerlang kerana apabila mereka berwawasan, mereka sentiasa berusaha gigih kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Sebagai contoh, mereka yang cemerlang sentiasa mempunyai sasaran dalam peperiksaan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Selain itu, wawasan hidup mampu mengajar mereka erti berdisiplin dan bertanggungjawab dalam hidup berikutan mereka akan lebih teliti dan kreatif dalam menyusun masa belajar dan melakukan aktiviti seharian. Pelajar yang mempunyai wawasan juga lebih mengetahui hala tuju kehidupan serta tidak mudah berputus asa dalam kehidupan mereka. Walaupun mereka mungkin menemui kegagalan dalam sesuatu perkara, mereka tidak akan mudah bersedih malahan menjadikan kegagalan tersebut sebagai batu loncatan untuk berusaha dengan lebih gigih pada masa hadapan. Wawasan hidup juga mampu menjauhkan diri daripada sifat menangguhkan kerja dalam kalangan pelajar cemerlang. Setiap pekerjaan haruslah dilakukan hingga selesai, bak kata peribahasa, alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan. Sifat negatif tersebut tidak akan lagi menjadi penghalang kepada diri mereka dalam menempa kejayaan hidup. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa pelajar yang berwawasan merupakan pelajar yang cemerlang.

 

           Seperkara lagi, untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, setiap pelajar hendaklah sentiasa aktif melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Hal ini kerana melalui aktiviti kokurikulum di sekolah, bakat dan kebolehan para pelajar akan terserlah dan dapat terus digilap untuk mencapai kejayaan. Pelajar cemerlang tidak rela dicop atau dilabel sebagai ulat buku semata-mata. Mereka juga menunjukkan pencapaian yang tinggi dalam bidang kokurikulum. Sebenarnya bidang kokurikulum ialah pelengkap kepada aktiviti kurikulum di bilik darjah. Aktiviti kokurikulum ialah wahana bagi aplikasi pengetahuan dan kemahiran kurikulum. Oleh itu, para pelajar haruslah menyertai sebarang pertandingan bagi mengenal pasti potensi diri sama ada melalui unit beruniform mahupun akademik. Para pelajar boleh melibatkan diri dalam sebarang aktiviti yang diadakan oleh unit beruniform, serta kelab dan persatuan seperti berkawad dan berkhemah. Dengan menyertai pertandingan yang dapat menguji minda serta pemikiran mereka seperti pertandingan perbahasan, forum dan catur, minda pelajar akan menjadi cemerlang lalu dapat menjana idea yang kreatif dan kritis. Dalam konteks ini, para pelajar bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan mereka malah turut dapat mencerdaskan otak mereka kerana otak yang cerdas lahir daripada badan yang cergas. Tegasnya, setiap pelajar perlu bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang dan seimbang.

           Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa terdapat beberapa langkah yang dapat diimplementasikan oleh seseorang pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam apa-apa jua lapangan yang diceburi. Kecemerlangan seseorang pelajar dapat menjamin masa depan seseorang pelajar yang lebih cerah. Pelajar cemerlang memiliki sejumlah kualiti diri yang tinggi dari segi akademik, kokurikulum, disiplin dan sahsiah. Mereka menepati ciri-ciri modal insan minda kelas pertama yang disebut sebagai hala tuju pendidikan negara. Oleh itu, para pelajar haruslah fokus akan matlamat hidup mereka untuk menjadi insan yang syumul dengan melakukan beberapa pendekatan yang telah dibincangkan. Namun begitu, sekiranya kita meletakkan usaha ini atas bahu pelajar sahaja tidak mencukupi kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Jadi, semua pihak terutamanya ibu bapa, guru dan Kementerian Pendidikan haruslah menggembleng tenaga dan bersemangat tinggi setinggi Gunung Himalaya untuk melahirkan insan kerdil yang berjiwa besar dalam memburu kecemerlangan. Komitmen jitu daripada semua pihak sudah pasti dapat melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang sekali gus usaha untuk merealisasikan Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh Mantan Perdana Menteri dapat dicapai dengan mudah. Diharapkan usaha untuk melahirkan modal insan yang holistik dan syumul untuk bersaing di peringkat antarabangsa tidak akan menjadi angan-angan Mat Jenin. Benarlah kata Soekarno, “Berikan aku 10 orang belia waja nescaya akan aku gegarkan dunia,” kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

TAJUK 5 : CARA MEMUPUK SEMANGAT KEJIRANAN

            Dalam mendepani era modenisasi pada abad-21 kini, dunia menyaksikan iktisad (ekonomi) negara membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Negara yang semakin pesat membangun seperti tenggelam sama basah, timbul sama hanyut seiringan dengan negara maju lain. Namun begitu,  isu memupuk semangat kejiranan masih menjadi polemik dalam kalangan marhaen (golongan bawahan) di Malaysia.  Dewasa ini, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita semakin hari semakin terpinggir. Maasyarakat pada hari ini lebih mementingkan diri sendiri dan membudayakan hidup bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Dari segi  konsepnya semangat kejiranan boleh ditakrifkan sebagai suatu perasaan yang harus dipupuk oleh setiap masyarakat di Malaysia tanpa mengira warna kulit bangsa dan agama dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan kaum demi negara yang tercinta. Biasanya semangat kejiranan merangkumi semua lapisan masyarakat tidak kira muda ataupun tua yang perlu kita amalkan. Menurut Dato’ Dr. Fadzillah Kamsah jiran merupakan orang yang tinggal di sekeliling kita sama ada di depan, belakang, kiri , atau pun kanan dan merupakan orang pertama yang membantu kita ketika kita berada dalam kesusahan. Hal ini boleh dianalogikan seperti awan yang melindungi bumi daripada cahaya matahari. Oleh itu, langkah yang signifikan harus diambil bagi menerapkan semangat kejiranan kepada semua lapisan masyarakat.

            Cara yang afdal untuk memupuk semangat kejiranan ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini kerana ibu bapa merupakan guru pertama dan guru terbaik kepada anak-anak. Jika ibu bapa menunjukkan teladan  yang baik kepada anak-anak maka mereka akan mencontohi teladan yang ditunjukkan kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sekiranya ibu bapa menunjukkan suri teladan yang buruk kepada anak-anak maka mereka akan menjadi anak-anak yang jahat malah lebih teruk lagi.  Hal ini boleh dianologikan seperti anak burung yang baru belajar terbang daripada ibunya. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah mengunjungi atau menziarahi jiran tetangga walaupun mereka berada dalam keadaan yang baik atau tidak. Selain itu, ibu bapa haruslah tidak sombong dengan jiran dan sering bertegur-sapa agar dapat memupuk semangat kejiranan. Kesannya, semangat kejiranan dapat dipupuk antara jiran dalam kalangan anak-anak dan ibu bapa sekali gus dapat mewujudkan masyrakat yang harmoni. Sekiranya cara memupuk semangat kejiranan dapat dipupuk oleh ibu bapa maka negara dapat melahirkan generasi yang bijaksana dan bekerjasama dalam mentadbir membangunkan negara ke  arah kemajuan  negara pada masa akan datang. Tegasnya, contoh teladan yang terbaik daripada ibu bapa mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan anak-anak.

                Memetik wasitah nirmala seterusnya, minhaj (cara) untuk memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat setempat di Malaysia ialah program rukun tetangga  di kawasan perumahan mesti dihidupkan semula. Hal ini kerana program rukun tetangga berfungsi sebagai perisai untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari.  Anggotanya membabitkan semua pihak tanpa mengira kaum kerana masing-masing bertanggungjawab menjaga keselamatan kendiri dan keluarga. Sebagai contohnya, anggota rukun tetangga akan bergilir-gilir bertugas meronda kawasan tanpa mengira usia, agama dan status. Secara ghalibnya (lazimnya), senario ini akan mewujudkan  jalinan hubungan yang mesra bagai isi dengan kuku sekali gus memupuk semangat kejiranan yang hakiki (sebenar). Menurut Tun Dr. Mahathir, jiran yang muafakat akan membentuk masyarakat yang harmoni. Oleh itu, kita perlu mengaktifkan program rukun tetangga bagi melahirkan semangat kejiranan yang utuh dan bersatu padu.

            Meninjau dari skop yang lain, langkah yang seterusnya adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong.  Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong adalah seperti  membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Selepas mengenali hati budi antara satu sama lain barulah benih-benih kasih sayang. Melalui cara ini, masyarakat yang penyayang dapat dilahirkan di samping dapat menerapkan pelbagai nilai murni. Tun Dr. Mahathir, Mantan Perdana Menteri  pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerapkan pelbagai nilai murni dalam diri. Bukan itu sahaja, kawasan kediaman juga akan menjadi bersih dan terpelihara daripada penyakit demam denggi. Jelaslah bahawa aktiviti gotong-royong dapat memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

            Jika dilihat dari perspektif yang lain, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanyakan khabar dan bercerita tentang pengalaman masing-masing dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Maka, dengan adanya pengimplimentasian program seperti “Rumah Terbuka Kebangsaan” bagi setiap sambutan perayaan, rakyat dapat diterapkan dengan nilai hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain ibarat kata bidalan, “serumpun seperti serai, seikat seperti sirih”. Hal ini dikuatkan lagi dengan kajian dari Universiti Sains Malaysia yang menunjukkan keberhasilan penganjuran program “Rumah Terbuka Kebangsaan” dalam mewujudkan institusi kejiranan yang kukuh di sembilan buah kawasan perumahan di sekitar Pulau Pinang. Pendek kata, majlis rumah terbuka mampu mengeratkan hubungan kejiranan dan memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

            Lontaran idea yang seterusnya ialah kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Dengan ini, kita dapat meringankan penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Izharlah bahawa amalan ziarah-menziarahi mampu menyemarakkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita.

            Sebagai menggulung segala lontaran idea yang telah dinyatakan, dapatlah disimpulkan bahawa terdapat beberapa cara yang dapat dipraktikkan untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal.  Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.  Oleh itu, kita perlu memupuk semangat kejiranan  bermula daripada sekarang.  Cogan kata “Jiran Sepakat Membawa Berkat” perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Golongan remaja seharusnya menyuburkan semangat kejiranan kerana mereka merupakan pemimpin yang akan mewarnai corak pemerintahan pada masa hadapan. Namun begitu, kita tidak seharusnya meletakkan usaha ini pada bahu satu pihak kerana bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Oleh itu, semua pihak perlulah bersinergi ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing untuk menghidupkan semangat kejiranan di negara kita. Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenali”. Semoga Malaysia menjadi sebuah negara yang mempunyai perpaduan yang utuh dan kukuh.

TAJUK 6: PERANAN IBU BAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK MEMANFAATKAN INTERNET

            Marcapada, internet merupakan satu ciptaan manusia yang wajar dikagumi dan dalam masa yang sama merupakan satu kepentingan dalam kehidupan setiap individu. Hal ini kerana hanya internet yang memberikan kepuasan bersosial, berniaga dan belajar secara meluas tanpa had kepada pengguna. Bayangkan dengan hanya satu klik, kita mampu mengakses seluruh alam maya tanpa perlu bermandi peluh. Namun begitu, isu penyalahgunaan internet bukanlah suatu isu baharu. Terdapat manusia sanggup melakukan penyalahgunaan internet untuk memuaskan nafsu diri demi kepentingan diri dengan melakukan pencerobohan maklumat dan menyebarkan berita palsu. Maka tidak hairanlah jenayah siber kian hari kian serius bagai duri dalam daging. Oleh itu, setiap individu perlu tahu akan kelebihan, keburukan dan cara mengakses internet, termasuklah ibu bapa. Sebahagian besar ibu bapa masa kini handal menggunakan internet manakala sebahagian kecilnya tidak. Namun begitu, sebagai mengambil langkah berjaga-jaga, ibu bapa wajar untuk mempelajari secara khusus berkenaan dengan internet. Sekiranya ibu bapa sudah ‘mengenali’ internet, maka dengan mudah ibu bapa mengawal kecenderungan anak-anak melayari internet dan secara tidak langsung, ibu bapa mampu mendidik anak-anak dalam memanfaatkan penggunaan internet. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak memanfaatkan internet pada hari ini?

            Memetik kata-kata pakar motivasi terkenal Malaysia Dr. H.M Tuah Iskandar, “Seribu mancis tidak dapat menerangi engkau dalam kegegalapan namun, cahaya keimanan pasti dapat menyuluh engkau ke jalan kebahagiaan”. Oleh hal yang demikian, langkah awal wajar diambil oleh ibu bapa untuk meralisasikan hasrat murni itu iaitu dengan cara menerapkan dan memberikan didikan agama yang sempurna. Hal ini dikatakan demikian kerana agama merupakan benteng yang paling ampuh untuk menangkis anasir-anasir negatif yang dibawa masuk melalui tingkap globalisasi. Anak-anak yang diasuh dan dibesarkan dengan didikan agama yang mantap dapat membezakan dosa dan pahala ketika melayari laman sesawang. Sebagai contoh, anak-anak tidak akan melayari laman sesawang yang mengandungi unsur pornografi yang mampu mencemarkan minda dan sekali gus mampu mendorong meruntuhkan akhlak anak-anak yang masih separa matang. Bukan itu sahaja, mereka juga tidak akan menggunakan internet untuk menjejaskan keamanan dan keharmonian dalam masyarakat dengan menyebarkan fitnah malahan mereka akan menggunakan internet untuk menyampaikan ilmu yang berguna kepada masyarakat. Apabila anak-anak telah diterapkan dengan nilai-nilai murni, sudah pasti akan lahirlah insan yang berguna iaitu insan yang tahu nilai diri dan estetika. Jadi apabila benteng pertahanan diri mereka sudah cukup teguh, mereka dapat menggunakan internet dengan baik dan bijak.       

        Peranan lain yang harus dimainkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak memanfaatkan internet pada masa ini termasuklah mendedahkan anak-anak dengan segala maklumat berkaitan dengan internet. Hal ini disebabkan anak-anak perlu diberitahu mengenai baik buruk penggunaan internet sebelum mereka didedahkan dengan cara menggunakan kemudahan internet secara bijak. Sekiranya anak-anak sudah diajar dari awal, sudah tentu anak-anak akan lebih berhati-hati dan lebih bijak dalam menggunakan kemudahan internet pada masa-masa akan datang bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, oleh itu sememangnya ibu bapa bertanggungjawab dalam memberikan pengenalan kepada anak-anak mengenai penggunaan internet dari kecil, yang ternyata amat penting dalam kehidupan masyarakat moden masa ini. Jelaslah di sini bahawa pendedahan segala maklumat berkaitan internet terhadap anak-anak merupakan tindakan yang wajar dilakukan oleh ibu bapa.

            Selain itu, ibu bapa juga berperanan untuk memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan internet. Alam maya ini tiada batasnya, oleh itu internet ini mempunyai keburukannya. Pemantauan ibu bapa sebenarnya mampu mengelakkan anak-anak daripada mengakses laman-laman sesawang yang berunsurkan pornografi, mahupun melakukan jenayah siber seperti mencetak rompak bahan media, mencetuskan provokasi atau menggodam laman sesawang. Tindakan kecil yang dilakukan ibu bapa ini juga tanpa disedari mampu menyelamatkan industri hiburan tanah air yang kerap kali ‘dirompak’ oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab, termasuklah mengurangkan jumlah penggodam dan pencetus provokasi di internet yang semakin hari semakin berleluasa. Anak-anak juga terselamat daripada terus terperangkap di dalam kancah jenayah siber, yang juga merupakan salah satu kesalahan yang akan dikenakan tindakan keras seperti yang termaktub di dalam akta jenayah negara. Oleh itu jelaslah bahawa tindakan ibu bapa dalam memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan internet dapat mendidik mereka dalam memanfaatkan kegunaan internet.

            Jika dikaji dari aspek yang lain, ibu bapa juga seharusnya menyekat penggunaan internet oleh anak-anak. Ibu bapa kini mampu mengawal internet dengan menyekat laman-laman sesawang yang berunsurkan negatif sebagai langkah mengelakkan pengguna internet mengakses laman-laman tersebut dan sistem yang sama digunakan pada peranti komputer yang disediakan di semua alma mater milik kerajaan. Sistem sebegini bukan sahaja mampu mengawal aktiviti penggunaan internet anak-anak, malah mampu mengasuh mereka untuk hanya mengakses laman-laman yang berguna sahaja. Bayangkan, sekiranya ibu bapa melaksanakan sistem sebegini di rumah, sudah tentu anak-anak akan menggunakan perkhidmatan internet dengan lebih bijak, seterusnya dapat menghindari mereka daripada mengetahui mahupun mencuba untuk mengakses laman-laman berunsurkan negatif seperti yang kebiasaanya berlaku dalam kalangan remaja dan orang dewasa masa ini. Anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya, persis kata peribahasa tersebut yang secara tersiratnya menegaskan bahawa ibu bapalah yang perlu mengawal ton-ton warna yang ingin diwarnakan di atas kain putih yang tidak berdosa. Cukup ditegaskan di sini bahawa ibu bapa sebaik-baiknya mengawal penggunaan internet oleh anak-anak sebagai cara mengajar mereka menggunakan internet secara lebih bijak.

            Akhir sekali, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak menggunakan internet secara pintar dengan memperkenalkan kepada mereka dengan medium-medium pembelajaran menerusi internet. Seperti yang ditegaskan, internet sememangnya memberikan banyak manfaat, termasuklah dari segi pendidikan. Hari ini, kemajuan internet juga selaras dengan kemajuan teknologi seperti tablet dan telefon pintar. Mengikut statistik juga, kedua-dua peranti ini merupakan peranti pilihan pengguna untuk melayari internet. Oleh hal yang demikian, adalah lebih baik para ibu bapa memperkenalkan laman sesawang atau aplikasi pintar yang berunsurkan pembelajaran kepada anak-anak. Tanpa disedari, sudah banyak aplikasi dan laman sesawang yang menyediakan aktiviti pembelajaran menggunakan kemudahan internet, namun malangnya kurang mendapat sambutan dalam kalangan pengguna internet masa kini. Sebaik-baiknya anak-anak didedahkan dengan medium sebegini, sekurang-kurangya mereka akan mula memanfaatkan penggunaan internet serta bijak menggunakannya. Ibu bapa juga tidak perlu risau sekiranya anak-anak menghabiskan masa dengan melayari internet mahupun menghadap peranti pintar sepanjang masa, sekiranya peranti-perani di rumah diisi dengan aplikasi dan laman pembelajaran yang berguna kepada anak-anak. Oleh hal yang demikian, jelaslah sudah di sini bahawa tindakan ibu bapa memperkenalkan medium-medium pembelajaran melalui internet kepada anak-anak adalah amat wajar dalam mendidik mereka memanfaatkan penggunaan internet.

            Secara tuntasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik dan mengasuh anak-anak memanafaatkan penggunaan internet. Perkhidmatan internet sememangnya memberikan manfaat kepada pengguna walaupun secara minoritinya membawa kepada keburukan. Namun yang demikian, semua ini bergantung kepada ibu bapa itu sendiri, sama ada bijak atau tidak mendidik anak-anak dalam memanfaatkan penggunaan internet dalam kehidupan seharian. Walaupun demikian, kita tidak seharusnya mengharapkan peranan ibu bapa sahaja kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Oleh itu, tindakan kerajaan mengambil pelbagai langkah dalam memastikan perkhidmatan ini mampu digunakan oleh semua anggota masyarakat sama ada di bandar mahupun di luar bandar membuktikan bahawa internet sangat penting kepada semua. Kerajaan juga banyak berusaha untuk memastikan masyarakat menggunakan perkhidmatan tersebut dengan sebaik-baiknya, namun usaha kerajaan akan menjadi usaha yang sia-sia sekiranya ibu bapa dan pihak yang lain tidak turut turun padang dalam membantu kerajaan melahirkan generasi yang celik IT dan bijak menggunakannya. Mencegah itu lebih baik daripada merawat, sememangnya jikalau semua pihak mula bertindak dari awal, masalah-masalah penyalahgunaan internet dan jenayah siber yang semakin menjadi-jadi ini akan mudah dicantas, dan secara tidak langsung, negara kita akan dipenuhi dengan generasi-generasi yang berguna dan berfikiran hadapan.

 

TAJUK 7: FAKTOR PEMBENTUKAN KELUARGA BAHAGIA

               Marcapada, masyarakat hari ini lebih ghairah mengejar kemewahan dan habuan duniawi di atas tanah datar ini. Masyarakat pada era golbalisasi ini dikatakan lebih individualistik bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dan lebih bersikap materialistik atau bermata duitan. Tanpa disedari, kepentingan keluarga terabai oleh masyarakat. Senario ini lebih membimbangkan apabila Mahkamah Syariah Kuala Lumpur melaporkan setiap 15 minit satu kes perceraian dilaporkan berlaku. Statistik ini menunjukkan betapa rapuhnya institusi kekeluargaan di negara kita pada hari ini sedangkan sebahagian daripada kesempurnaan kebahagiaan di dunia adalah dengan memiliki keluarga yang bahagia. Menurut mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato` Seri Shahrizat Abdul Jalil, keluarga bahagia merupakan asas kepada pembentukan masyarakat penyayang. Beliau juga mengatakan bahawa dengan pembentukan keluarga bahagia, masyarakat dapat hidup dalam keadaan yang aman dan harmonis tanpa pertelingkahan serta perselisihan faham. Melalui pembentukan keluarga bahagia, individu yang kamil dan dihormati dapat dilahirkan yang sudah tentu akan dapat memberikan sumbangan terhadap pembangunan negara. Tanggungjawab membentuk keluarga bahagia tidak hanya bergantung pada satu pihak sahaja sebaliknya memerlukan kerjasama dan komitmen daripada pelbagai pihak bak kata  peribahasa Melayu, “bagai aur dengan tebing”. Tidak dapat disangkal bahawa ibu bapa menggalas kewajipan yang dominan bagi membentuk keluarga bahagia, namun terdapat juga pihak lain yang memainkan peranan yang penting dalam membentuk keluarga bahagia.

 

            Ibu bapa menggalas tanggungjawab yang penting bagi membentuk keluarga bahagia. Ibu bapa merupakan ketua keluarga yang akan membawa ahli keluarganya ke arah kehidupan yang bahagia dan semmpurna. Nabi Muhammad s.a.w pernah besabda bahawa anak-anak merupakan kain putih ibu, bapa yang memainkan peranan untuk mencorakkan kehidupan anak-anak sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Didikan dan asuhan ibu bapa penting supaya anak-anak menjadi golongan berkualiti serta dihormati dan tidak menjadi golongan barbar yang menjadi agen perosak terhadap pembangunan negara. Dalam hal ini, ibu bapa yang merupakan tulang belakang keluarga dapat mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga dengan memperingati hari jadi ahli keluarga, mengadakan hari keluarga, melancong dan sebagainya. Apabila wujudnya suasana yang harmoni di rumah, anak-anak akan berasa lebih selamat dan selesa untuk berada di rumah daripada membazirkan masa dengan berpeleseran di luar rumah. Ibu bapa harus mentarbiah anak-anak mereka dengan menyemai nilai-nilai murni dan budaya ketimuran dalam sanubari anak-anak sejak berumur setahun jagung lagi bak kata pepatah bagai ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Ibu bapa harus meluaskan harizon pemikiran mereka dengan bersikap lebih terbuka. Mereka harus menerima pandangan anak-anak serta sentiasa berbincang dengan mereka supaya anak-anak akan berasa lebih selesa meluahkan perasaan kepada ibu bapa. Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak mereka menelusuri jalan kehidupan yang betul dengan memberikan perhatian dan kasih sayang yang secukupnya bagai ‘menatang minyak yang penuh’. Ibu bapa juga seyogiannya memberi hadiah dan galakan atas kejayaan ank-anak. Hal ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada pembentukan masyarakat penyayang yang merupakan cabaran yang ketujuh dalam usaha mencapai visi dan kudsi Wawasan 2020. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam usaha membentuk keluarga bahagia demi kemajuan masyarakat dan negara.

 

          Namun begitu, peranan pihak lain tidak wajar dikesampingkan. Selain ibu bapa, masyarakat juga memainkan peranan yang penting dalam pembentukan keluarga bahagia. Masyarakat merupakan antara elemen penting yang dapat menetukan pembentukan seorang individu yang kamil dan seterusnya menyumbang kepada pembentukan keluarga bahagia. Masyarakat di sesuatu kawasan tempat tinggal hendaklah sentiasa bekerjasama antara satu sama lain seperti aur dengan tebing dengan mengadakan kenduri, gotong royong, sukaneka dan rumah terbuka.  Penduduk yang menghadiri majlis rumah terbuka bersama keluarga mereka dapat menjalin semangat ukhuwah yang baik dengan penduduk setempat.  Dengan ini ahli keluarga dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan selesa.  Sudah menjadi fitrah dalam melayari bahtera perkahwinan ada masam manisnya kerana langit tidak selalu cerah. Oleh itu, masyarakat setempat hendaklah mengamalkan sikap menjaga tepi kain orang bagi membendung krisis rumah tangga yang berlaku dalam kalangan jiran kita. Masyarakat perlulah menasihati pasangan yang menghadapi konflik supaya berdamai demi kebaikan bersama terutamanya kepada generasi muda.  Dengan adanya keluarga yang harmoni, anak-anak tidak akan terlibat dalam kancah negatif seperti penyalahgunaan dadah, vandalisme dan gengsterisme.  Perkara ini akan menjamin golongan yang baru berdarah setampuk pinang ini dapat  menelusuri penitian jalan hidup dengan betul bagi menjadi individu yang berkualiti dan mengharumkan nama keluarga.  Jelaslah bahawa masyarakat turut memainkan peranan yang penting dalam usaha membentuk keluarga bahagia. 

 

            Jika dilihat dari dimensi yang lain, pihak kerajaan juga menggalas kewajipan yang setimpal dalam usaha membentuk keluarga bahagia.  Pihak kerajaan harus menguatkuasakan undang-undang yang melibatkan hak kanak-kanak dan hak keluarga.  Hal ini dapat menyedarkan dan menginsafkan orang ramai tentang hak insan yang lemah terutamanya anak-anak. Tamsilannya, Akta Perlindungan Kanak-kanak 1948 memberikan perlindungan kepada anak-anak yang didera.  Akta ini melindungi hak kanak-kanak sebagai individu yang harus menikmati kehidupan yang selamat dan bahagia.  Ibu bapa akan mengambil inisiatif untuk melindungi kanak-kanak daripada sebarang penderaan dan seterusnya mendidik mereka menjadi insan yang berguna.  Kerajaan juga mestilah menyediakan penghargaan kepada ibu bapa yang berjaya mewujudkan keluarga bahagia. Hal ini merupakan salah satu langkah optimum bagi membentuk masyarakat madani pada hari muka.  Sebagai misalan, pemberian Anugerah Ibu Mithali yang mengiktiraf kejayaan seorang ibu mentarbiah anak-anaknya menjadi individu cemerlang menjurus ke arah pembentukan modal insan minda kelas pertama yang seimbang dari segi jasmani, ekonomi, rohani dan intelek merupakan satu usaha yang berkesan untuk mendorong kaum ibu melaksanakan tanggungjawabnya dengan efektif.  Ringkasnya, kerajaan memainkan peranan yang afdal dalam pembentukan keluarga yang bahagia yang akan menjamin kehormanian masyarakat.

 

            Dalam nada yang berbeza, media massa juga turut berperanan dalam melahirkan keluarga yang bahagia. Hal ini dikatakan demikian kerana media massa merupakan wahana atau medium yang berkesan untuk mempengaruhi minda dan tingkah laku seseorang. Lebih-lebih lagi, pada zaman digital ini media massa telah semakin canggih seiring dengan kehendak arus modenisasi dan globalisasi yang pantas bergerak bagai belut diketil ekor ini. Sebagai buktinya, kini wujud buku digital, akhbar digital, laman sesawang yang kaya dengan laman sosial yang pelbagai seperti laman ‘blog’, ‘facebook’, ‘instagram’, ‘we chat’, ‘whatsApp’ dan sebagainya. Kecanggihan media massa pada hari ini dapat memudahkan usaha untuk melahirkan keluarga bahagia melalui kempen-kempen kesedaran yang efektif. Contoh kempen yang wajar dijalankan ialah kempen ‘Sayangi Keluarga Anda’, kempen ‘Keluarga Bahagia Teras Kemakmuran Negara’ dan kempen ‘Rumahku Syurgaku’. Kempen-kempen seumpama ini mestilah dijalankan secara berterusan atau berketiak ular dan bukannya hangat-hangat tahi ayam. Dengan adanya kempen-kempen ini, sudah pasti setiap anggota masyarakat mengetahui signifikan memiliki sebuah keluarga yang bahagia dan sakinah. Secara tidak langsung, mereka akan menjauhi daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan keharmonian keluarga mereka seperti pertengkaran antara ahli keluarga sebaliknya mereka akan berusaha untuk menanam benih-benih kasih sayang terhadap ahli keluarga mereka. Jadi, peranan media massa dengan menjalankan kempen kesedaran tentang peri pentingnya keluarga yang harmoni dapat mewujudkan keluarga yang bahagia dan marem.

 

            Sebagai konklusinya, dapat disimpulkan bahawa terdapat peranan pelbagai pihak selain ibu bapa dalam usaha melahirkan keluarga bahagia turut dianggap signifikan. Sesungguhnya mencintai keluarga adalah amanah bagi setiap manusia. Rasul saw bersabda, “Paling dekat denganku kedudukannya kelak pada hari kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap keluarganya.”  Betapa tingginya darjat manusia yang sentiasa berbuat baik terhadap ahli keluarganya. Bertitik tolak dari sini, peranan ibu bapa untuk melahirkan keluarga bahagia memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Namun begitu, usaha ini tidak harus dipertanggungjawabkan kepada satu pihak sahaja kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Oleh itu, semua pihak perlulah bersinergi umpama ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk memastikan insitisusi kekeluargaan di negara kita tidak goyah walaupun diasak oleh pelbagai faktor. Diharapkan komitmen jitu daripada pelbagai pihak dapat menjamin keutuhan institusi kekeluargaan di negara kita demi menjamin kemakmuran negara. Dengan lahirnya keluarga yang bahagia, impian untuk mencapai Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh Perdana Menteri keempat dapat direalisasikan dengan mudah. Biarlah matahari terus bersinar, biarlah pepeohon terus bergoyang dan biarlah imej negara terus terpelihara dengan sokongan dan dorongan daripada keluarga bahagia di negara kita. Maju keluarga, majulah negara.

 

TAJUK 8: PERANAN IBU BAPA UNTUK MEMBENTUK KELUARGA BAHAGIA

Daripada keluarga, terpancarnya sinar kasih sayang di antara ahlinya

Daripada keluarga, lahir rasa menghormati dan saling memerlukan yang tidak terucapkan

Daripada keluarga, lahirnya insan yang bertanggungjawab terhadap dirinya serta insan lain yang memerlukan

 

                 Ayat-ayat di atas memaparkan signifikannya keluarga dalam kehidupan seseorang. Keluarga merupakan satu institusi yang amat penting dalam sesebuah masyarakat. “Baiti Jannati” atau “Rumahku Syurgaku” merupakan pepatah Arab yang sudah tidak asing lagi dalam kehidupan seharian kita. Rumah merupakan tempat terperciknya sinar kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Rumah tangga yang bahagia dan ceria akan melahirkan warga yang juga memiliki ciri-ciri kejiwaan yang sihat seperti gembira, yakin akan kebolehan diri dan sebagainya. Namun begitu, langit tidak selalunya cerah. Allahyarham seniman agung tanah air, Tan Sri P.Ramlee pernah mengatakan bahawa sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Kehidupan berkeluarga tidak lari daripada pergolakan dan perselisihan. Senario ini terbukti apabila Mahkamah Syariah Kuala Lumpur melaporkan setiap 15 minit satu kes perceraian dilaporkan berlaku. Statistik ini menunjukkan betapa rapuhnya institusi kekeluargaan di negara kita pada hari ini sedangkan sebahagian daripada kesempurnaan kebahagiaan di dunia adalah dengan memiliki keluarga yang bahagia. Menurut mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato` Seri Shahrizat Abdul Jalil, keluarga bahagia merupakan asas kepada pembentukan masyarakat penyayang. Sebagai nakhoda dalam melayari bahtera perkahwinan, ibu bapa memikul obligasi yang berat untuk memastikan mahligai yang bina berada dalam kebahagiaan. Persoalannya, apakah peranan yang wajar dimainkan oleh ibu bapa untuk membentuk sebuah keluarga yang bahagia seperti yang diimpikan oleh semua pihak?

 

                 Peranan ibu bapa yang dominan ialah ibu bapa perlulah menjadi suri teladan kepada anak-anak. Peranan ibu bapa dalam usaha membentuk keluarga sakinah adalah amat penting. Ibu bapa perlu menjadi ‘role-model’ kepada anak-anak. Mereka harus sentiasa menunjukkan teladan yang baik untuk dicontohi oleh anak-anak. Sebagai contoh, seorang bapa perlu berinteraksi dengan sopan dan lemah-lembut dengan isteri dan anak-anaknya. Ibu dan bapa juga perlu saling menghormati antara satu sama lain. Kata orang, “ Yang tua dihormati, yang muda disayangi, barulah keluarga harmoni.” Apabila anak-anak melihat keharmonian kedua-dua orang tua mereka, mereka juga akan meneladani sikap baik itu apabila berinteraksi sesama mereka kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.  Jika contoh yang murni diperlihatkan oleh ibu bapa kepada anak-anak seperti sayang-menyayangi, toleransi serta prihatin akan membantu perkembangan jiwa anak-anak dan juga akan mengeratkan hubungan dalam kalangan anak. Jika hal ini terjadi, rumah akan menjadi syurga kepada anak-anak. Apabila kebahagiaan di rumah dapat dinikmati, maka anak-anak akan berusaha untuk membahagiakan ahli keluarganya dengan memelihara maruah ahli keluarga walau di mana sekalipun mereka berada kerana benih yang baik dicampak ke laut menjadi pulau. Tegasnya, tingkah laku yang baik yang dipaparkan oleh ibu bapa kepada anak-anak bakal dapat mewujudkan keluarga yang bahagia kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

                 Selain itu, ibu bapa perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan keibubapaan bagi memahami tanggungjawab besar yang terletak di atas bahu mereka dalam memastikan kebahagiaan keluarga mereka. Pengetahuan keibubapaan ini penting dapat dijadikan panduan kepada ibu bapa atau pasangan yang ingin mendirikan mahligai perkahwinan mereka terutamanya kepada pasangan yang masih mentah. Sememangnya alam perkahwinan penuh dengan asam garamnya. Itulah hakikat yang tidak dapat disangkalkan lagi. Sebagai contoh, bakal-bakal ibu dan bapa boleh mengikuti kursus-kursus praperkahwinan serta kursus pascaperkahwinan yang dikendalikan oleh pejabat agama daerah masing-masing. Dalam kursus-kursus tersebut, suami isteri akan mendapat ilmu untuk melahirkan sebuah keluarga yang bahagia melalui ceramah dan bengkel-bengkel yang dikendalikan oleh penceramah-penceramah yang berwibawa. Selepas mendapat ilmu tersebut, perkara yang lebih penting adalah bagi mereka mempraktikkannya untuk melahirkan sebuah rumah tangga yang penuh dengan sinar kebahagiaan. Dengan ini, banyaklah keluarga yang mithali dapat dilahirkan dan masalah keganasan rumah tangga dapat dielakkan. Pendek kata, ilmu pengetahuan keibubapaan yang dimiliki oleh mampu merealisasikan impian untuk melahirkan keluarga yang bahagia.

 

                 Jika kita lihat dari dimensi yang lain, pemberian perhatian dan kasih sayang yang secukupnya dari ibu bapa kepada ahli keluarganya juga dapat mewujudkan keluarga yang bahagia. Kasih sayang merupakan kunci utama kebahagiaan. Namun begitu, pada era yang penuh dengan persaingan yang sengit ini, masyarakat bertambah sibuk dengan usaha mencari nafkah bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing. Hal ini disebabkan kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat. Statistik telah menunjukkan bahawa hampir 90 peratus ibu yang bekerja hanya bercakap dengan anak-anak mereka selama empat minit sehari. Hal ini merupakan perkara yang amat menyedihkan kerana anak-anak merupakan golongan yang memerlukan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa mereka. Oleh itu, demi membentuk keluarga yang bahagia, ibu bapa yang merupakan peneraju kehidupan dalam sesebuah keluarga perlu meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama dengan anak-anak mereka. Atas kepentingan ini, kerajaan telah mengumumkan hari Sabtu dan Ahad sebagai cuti umum bagi kakitangan awam. Manakala pihak swasta pula, turut memberikan pelepasan kepada para pekerja mereka pada Sabtu pertama setiap bulan. Ibu dan bapa seharusnya merebut kesempatan ini untuk bermesra dengan keluarga sambil merehatkan minda setelah penat bekerja. Menghabiskan waktu cuti dengan berkelah atau berekreasi bersama keluarga akan memberikan peluang kepada ahli keluarga untuk berhibur di samping meluangkan masa untuk mengeratkan hubungan di antara mereka. Oleh itu, sekiranya masa yang berkualiti untuk bersama-sama dengan anak-anak, tidak mustahil kebahagiaan dalam sesebuah keluarga akan dapat diwujudkan.

 

     Dalam nada yang sama, pemberian didikan agama dan moral yang sempurna dalam kalangan generasi muda juga dapat menyumbang ke arah pembentukan sebuah keluarga yang bahagia. Hal ini disebabkan oleh pegangan agama serta nilai moral yang kuat dapat membentuk nilai sahsiah yang tinggi di kalangan generasi muda. Kualiti ini akan melahirkan ibu dan bapa yang bertanggungjawab serta dapat memikul tugas membangunkan rumah tangga dengan efektif. Golongan yang berpendidikan agama ini akan mampu mewujudkan persefahaman dan perasaan tolak ansur sesama suami isteri. Kesabaran kerana iman yang tebal juga akan mengelakkan keluarga daripada bercerai-berai disebabkan alasan yang kadang kala tidak munasabah. Sebagai ibu dan bapa, kita perlu memberikan didikan agama yang kukuh serta menerapkan nilai-nilai akhlak dan moral dalam kalangan anak-anak. Anak-anak yang sopan akan menghormati orang tua mereka serta saling bekerjasama sesama adik beradik. Benarlah kata  orang tua-tua, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing dan hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Maka, jika semangat ini dapat diwujudkan dalam jiwa setiap ahli keluarga oleh ibu bapa, sudah pasti sebuah keluarga yang mantap dan harmoni akan dapat dilahirkan.

                 Akhir kalam, bayang kian jelas bahawa ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Institusi keluarga boleh diibaratkan sebuah bangunan yang terdiri daripada berjuta-juta batu-bata. Tanpa keluarga bahagia, sudah pasti kemakmuran negara akan terjejas. Banyak anak muda akan terlibat dalam kebejatan sosial yang sekali gus akan menjahanamkan agenda pembangunan negara sama ada dari aspek politik, ekonomi dan sosial. Oleh itu, ibu bapa sebagai pemimpin atau khalifah keluarga mestilah memainkan peranan dengan sebaik-baiknya untuk memastikan keluarga yang dibina bahagia tanpa persengketaan. Namun begitu, kita tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab berat ini atas pundak ibu bapa sahaja kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Oleh itu, keluarga yang harmoni dan bahagia hanya akan dapat diwujudkan jika setiap individu yang menganggotainya telah melalui pelbagai proses pemupukan kejiwaan yang berkesan sejak kecil. Kesediaan setiap anggota untuk bersedia berkorban dan bertolak asur sesama mereka akan memudahkan proses pemupukan keluarga harmoni dan bahagia ini. Komitmen jitu daripada semua pihak ini sudah pasti dapat merealisasikan impian negaran untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat digapai dengan mudah. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah keluarga bahagia di negara kita dapat menyinari kemajuan dan kemakmuran negara sehingga diteladani oleh  mancanegara. Keluarga Asas Pembentukan Masyarakat. Maju keluarga, majulah masyarakat. Pincang keluarga, musnahlah masyarakat.

 

 

 

 

 

 TAJUK 9: CIRI-CIRI KELUARGA IMPIAN

·       Keluarga yang menitikberatkan ajaran agama
·       Keluarga yang kaya dengan kasih sayang
·       Keluarga yang mementingkan pendidikan akademik
·       Keluarga yang mementingkan aspek penjagaan kesihatan
·       Keluarga yang prihatin akan masalah keluarganya

TAJUK 10: PERANAN IBU BAPA DALAM MENGGALAKKAN ANAK-ANAK MENCEBURI BIDANG SUKAN

·       menggalakkan anak-anak bergiat aktif dalam bidang kokurikulum
·       memberikan galakan dengan cara membelikan anak-anak mereka peralatan sukan
·       memberikan sokongan moral dengan menghantar anak-anak mereka ke tempat latihan atau permainan tersebut dijalankan
·       membelikan anak-anak mereka majalah sukan yang diminati oleh mereka
·       membawa anak-anak menyaksikan perlawanan dan pertandingan sukan yang dianjurkan oleh negara

TAJUK 11: KEBAIKAN TRADISI MAKAN BERSAMA

·       dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan
·       dapat membudayakan amalan tolong-menolong
·       dapat membudayakan amalan hormat-menghormati
·       dapat berkongsi suka duka yang dialami
·       dapat mengamalkan pemakanan yang sihat

TAJUK 12: PERANAN/USAHA IBU BAPA UNTUK MEMUPUK SEMANGAT PATRIOTIK ANAK-ANAK

·       menyokong dasar kerajaan / menjadi suri teladan
·       membawa anak-anak melawat tempat-tempat bersejarah
·       meraikan hari sambutan kebangsaan dan hari patriotik bersama dengan anak-anak
·       membelikan anak-anak buku berbentuk sejarah sebagai bahan bacaan
·       menggalakkan anak-anak menonton filem berunsur patriotik

TAJUK 13: SOKONGAN IBU BAPA DALAM MENJAMIN KEJAYAAN ANAK-ANAK DALAM AKADEMIK 

·       memberikan kasih sayang
·       mendoakan kejayaan anak-anak
·       memberikan nasihat dan motivasi/ sokongan moral
·       memastikan kesihatan anak-anak terjamin
·       menghantar anak ke kelas tambahan
·       menyediakan pembelajaran anak anak – buku rujukan dan alatan persekolahan

TAJUK 14: USAHA MEMAJUKAN INDUSTRI PELANCONGAN NEGARA

·       Kempen dan usaha mempromosikan Malaysia di persada dunia
·       memajukan infrastruktur awam dan prasarana negara
·       menitikberatkan aspek kebersihan
·       keselamatan pelancong harus dipertingkatkan
·       Pihak berkuasa perlu menghapuskan atau mengurangkan cukai belian barangan di negara ini

TAJUK 15: KEBAIKAN SEKTOR PELANCONGAN KEPADA NEGARA

·       memajukan ekonomi negara – pengaliran wang masuk – pelancong berbelanja
·       meningkatkan imej negara – layanan mesra rakyat tempatan
·       memajukan industri tempatan – industri kraftangan, inap desa, industri perhotelan – peluang pekerjaan  – mengurangkan kadar pengangguran negara
·       memperkenalkan budaya dan adat resam kepada rakyat asing
·       dapat menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara luar

TAJUK 15: KEISTIMEWAAN MALAYSIA SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN

·       Keanekaragaman flora dan fauna
·       Kestabilan politik
·       Keindahan pantai yang bersih
·       Keramahan rakyat

TAJUK 16: PANDANGAN TENTANG KEMAHIRAN SEBAGAI PELENGKAP UNTUK MEMASUKI ALAM PEKERJAAN

·       Kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi
Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia, dalam kalangan 1,936 orang generasi muda berumur 15 hingga 26 tahun menunjukkan 58% menyatakan mereka mahir menggunakan internet.
·        Kemahiran berkomunikasi dengan orang sekeliling
Kajian menunjukkan sekitar 80% waktu jaga seseorang individu digunakan berkomunikasi dengan pelbagai cara dan pendekatan
·       kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis
kemahiran berfikir telah mula diberi perhatian istimewa oleh tamadun manusia sejak zaman Socrates,  2500 tahun dahulu yang juga dikenali sebagai pemikiran kritis yang merangkumi  pemikiran kreatif
·       kemahiran kerja berpasukan
·       kemahiran kepimpinan