Anak merupakan insan yang dilahirkan ke dunia oleh seseorang yang bergelar ibu. Mereka merupakan penyambung legasi dalam institusi kekeluargaan, bangsa mahupun negara. Anak-anak perlu dijaga dan ditatang bagai minyak yang penuh. Keperluan dan kehendak anak-anak perlulah dituruti. Dewasa ini, kita dapat lihat dan dengar 1001 masalah atau kes yang timbul tentang penderaan kanak-kanak dalam strata masyarakat di kaca televisyen dan di corong-corong radio serta di dada-dada akhbar. Kanak-kanak kelak bakal membesar seterusnya menerajui tampuk kepemimpinan negara dan kuluwangsa. Mantan Perdana Menteri iaitu Datuk Dr Mahathir Mohamad pernah berkata bahawa ‘kewibawaan seorang pemimpin bermula dari dalam sebuah keluarga’. Oleh itu, kes penderaan kanak-kanak haruslah dibendung dalam sesebuah keluarga. Terdapat beberapa peranan yang harus dititikberatkan oleh ahli keluarga bagi membanteras gejala yang tidak sihat ini.

Peranan ibu bapa dalam institusi keluarga sangat penting dengan mengutamakan agenda kasih sayang dalam keluarga. Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini, hubungan kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak semakin hilang ditelan zaman. Ibu bapa seharusnya menyemai benih yang baik dan berkualiti dalm diri anak-anak terutamanya kanak-kanak yang masih setahun jagung. Hal ini demikian kerana, melentur buluh biarlah dari rebungnya dan sebagaimana acuan begitulah bentuknya. Kasih sayang yang diberikan oleh ibu bapa dapat melahirkan anak yang penyayang dan tidak memberontak. Perkara ini dapat melestarikan hubungan dalam keluarga agar keluarga aman dan harmoni. Institusi keluarga dapat diteruskan tanpa sebarang pertelingkahan kerana masing-masing menyemai sikap kasih sayang dalam diri. Berdasarkan salah satu falsafah pemikiran Imam al-Ghazali yang menyebut bahawa seseorang kanak-kanak yang diajarkan erti berkasih sayang, dia akan berlatih untuk mengasihi orang lain. Oleh itu, ibu bapa berperanan untuk memupuk kasih sayang dalam institusi keluarga agar dapat membentuk kesinambungan masyarakat madani.

Seterusnya, kes ini dapat dibendung apabila setiap ahli keluarga menghayati pendidikan ilmu agama dan moral yang sempurna. Albert Einstein pernah berkata bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, manakala ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Ibu bapa memainkan peranan untuk membentuk nilai-nilai murni dalam diri kanak-kanak bak kata pepatah kanak-kanak ibarat kain putih yang dicorakkan dengan warna-warni kehidupan oleh ibu bapa. Kepentingan ilmu dan agama sangat penting dalam membentuk sifat yang tidak bercanggah dengan perkara-perkara positif. Tokoh-tokoh pujangga pernah menukilkan bahawa benih yang bernas apabila jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora dan jatuh ke bumi menjadi penawar. Pelbagai cabaran onak dan ranjau dalam sebuah keluarga yang serba-serbi lengkap. Namun begitu, pelbagai gejala yang berlaku akibat kurangnya perhatian tentang agama dan nilai murni dalam kalangan ahli keluarga seperti kes penderaan lahiriah iaitu datuk merogol cucu perempuannya sendiri. Oleh itu, didikan keagamaan hendaklah dipasak teguh dijiwa ibu bapa dan anak-anak serta ahli keluarga yang lain sebagai panduan yang berguna agar mereka tidak hidup bertuhankan nafsu. Jelaslah bahawa setiap ahli keluarga memainkan peranan penting dalam membanteras gejala ini dengan mendalami ilmu agama dan mengamalkan nilai murni.

Di samping itu, abang dan kakak memainkan peranan untuk menjaga adik-adik yang masih kecil. Mereka seharusnya mengambil alih tugas ibu bapa ketika ibu bapa sibuk menguruskan pekerjaan. Setiap ahli keluarga perlu mengetahui bahawa mereka memikul amanah dan tanggungjawab yang berat. Hal ini adalah untuk memudahkan urusan ibu bapa dan mana-mana ahli keluarga. Bagi ibu bapa yang masih berkerjaya, mereka sangat memerlukan bantuan daripada anak-anaknya terutamanya yang telah dewasa. Namun demikian, itu bukanlah bererti bahawa mereka, sebagai ibu bapa boleh melepaskan tanggungjawab. Ibu bapa harus cakna tentang aktiviti-aktiviti anak agar mereka tidak terjerumus dengan kebejatan akhlak akibat pengaruh daripada persekitaran terutamanya pengaruh rakan sebaya. Dalam hal ini, bantuan daripada abang dan kakak dapat mengurangkan keletihan dan kelesuan ibu bapa yang penat bekerja. Kebanyakan kes penderaan kanak-kanak berlaku apabila ibu bapa berada dalam keletihan diganggu dengan kenakalan anak-anak yang masih kecil. Dalam konteks ini, anak-anak juga tidak sewajarnya dipersalahkan kerana ibu bapa seharusnya mementingkan zuriat mereka sendiri berbanding kerjaya mereka. Sifat keprihatinan perlu ada dalam diri setiap ahli. Tindakan mencegah dan melapor perlu dibuat jika terdapat kes penderaan dalam kalangan ahli keluarga. Menurut Prof. Dr Fatimah Yusoff, seorang fasilitator terkenal pernah menyeru ayuhlah ibu bapa berubah,’sebelum padi ditangan menjadi lalang’ dan ‘ayam ditambat disambar helang’ berkorbanlah demi masa depan anak-anak tercinta. Oleh itu, peranan anak dan ibu bapa sangat besar dalam membendung kes penderaan.

Tepuk dada tanya selera. Kadangkala ibu bapa juga kekurangan ilmu pengetahuan dalam mendidik anak-anak. Hal ini sering terjadi dalam kalangan ibu bapa yang masih muda dan tidak tahu menguruskan ahli keluarga. Oleh itu, datuk dan nenek haruslah memainkan peranan untuk memberi nasihat serta tunjuk ajar dalam menguruskan rumah tangga dengan betul kepada anak-anak mereka yang telah berkahwin serta kepada menantu agar teladan yang sempurna dapat dicontohi. Pasangan yang telah berkahwin juga hendaklah mendapatkan ilmu serta pengalaman daripada orang yang lebih makan asam garam dalam kehidupan. Mereka sewajarnya tahu bahawa kanak-kanak merupakan anugerah yang paling berharga. Ibu bapa yang mengutamakan duniawi berbanding keluarga harus sedar bahawa mujtamak yang kaya dalam kebendaan tetapi muflis dari segi keperibadian akan secara tidak langsung mendampakkan kesan negatif terhadap anak-anak mereka. Sekiranya ahli keluarga yang lebih tua memiliki sahsiah yang baik, sudah tentu perbuatan tersebut dapat dicontohi oleh anak-anak kerana pepatah melayu ada mengatakan bahawa ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Jelaslah bahawa tanggungjawab serta peranan datuk dan nenek memberi impak yang sangat besar dalam mengatasi maslah gejala ini.

Natijahnya, kes penderaan yang berlaku kepada kanak-kanak pada era globalisasi dapat dicegah jikalau semua pihak dalam sesebuah kuluwangsa menyedari peranan mereka yang sebenar-benarnya. Ibu bapa atau ahli keluarga itu sendiri perlu bertindak sebagai agen pertama dalam pembentukan sahsiah dan penjana kecemerlangan anak-anak kerana keluarga menjadi institusi tertua yang menentukan hala tuju dan arah seseorang. Menurut Dr. Hassan Ali, Pengarah Akademi Keluarga Bahagia Malaysia, kesejahteraan bermula dari rumah, maka ahli keluarga hendaklah menjadikan rumah seperti syurga yang penuh dengan kedamaian dan keindahan. Mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam satu wawancara menyatakan bahawa kanak-kanak dan remaja boleh membina peribadi mulia dengan mentaati ibu bapa melalui  perbuatan yang baik, melaksanakan hak-hak mereka dan menjauhkan diri daripada perilaku yang boleh menyakiti hati dan kehidupan mereka. Anak-anak merupakan tonggak utama negara pada masa akan datang yang akan mentadbir negara bercorak dimensi abad ke-21. Keadaan inilah yang dinamakan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang agama.

 

Hasil karangan ahli Arista 1115

Terima kasih, cikgu.